Penyerang berbisa Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva dilihat semakin hampir menyarung jersi Harimau Malaya di peringkat antarabangsa.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Hj. Rahman memaklumkan semua proses membabitkan penyerang berusia 35 tahun itu tidak berdepan sebarang isu.
Sekiranya semua proses dokumentasi berjalan lancar, beliau percaya Bergson berpeluang membantu Harimau Malaya untuk kempen FIFA ASEAN Cup 2026.
“(Status) Bergson, itu saya (kena) periksa dulu tapi benda itu tak ada masalah.Tapi kalau proses dokumentasi itu lengkap, saya rasa untuk peringkat FIFA ASEAN Cup itu, beliau boleh mewakili (Harimau Malaya).
“Kita tengah lengkapkan proses dokumentasi,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi pada Selasa.
Berita ini merupakan berita baik kerana ini menambah pilihan buat jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe di bahagian serangan.
Bergson terus membuktikan dirinya kekal berbisa menjelang musim 2026/27. Terbaru, beliau meledakkan gol buat JDT dalam aksi pramusim menentang Chelsea di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) baru-baru ini.