FAM Zahir Penghargaan Kepada Anwar Ibrahim
MakanBola
FA Malaysia

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan Malaysia.

Ini kerana sokongan padu yang diberi kerajaan membantu Harimau Malaya melakar kemenangan bergaya 4-0 ke atas Vietnam pada 10 Jun lalu.

Selain sokongan dalam bentuk dana kewangan, kerajaan turut membantu melancarkan proses dokumentasi lima tonggak baharu skuad kebangsaan.

Ini amat membantu perancangan jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski untuk merangka resepi mantap yang membawa kemenangan pertama pasukan itu sejak 2014.

“Selain bantuan kewangan menerusi peruntukan khas kepada skuad Harimau Malaya, Kerajaan Malaysia turut banyak membantu sebagai pemudah cara dalam urusan dokumentasi pemain-pemain warisan baharu sehingga mereka lulus untuk turun beraksi pada perlawanan kedua Kumpulan F, Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2027 Arab Saudi itu.

“Sokongan penuh daripada kepimpinan tertinggi negara ini serta para penyokong diharap akan berterusan bagi memastikan prestasi skuad Harimau Malaya terus meningkat pada aksi-aksi antarabangsa yang akan datang untuk menjadi salah satu pasukan gergasi di rantau Asia,” kata FAM dalam satu kenyataan.

Dua tonggak baharu Harimau Malaya, Joao Figueiredo dan Rodrigo Holgado meledakkan gol pertama dalam penampilan sulung mereka. Dua lagi gol disumbang La’Vere Corbin Ong dan Dion Cools.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia kini menerajui Kumpulan F dengan enam mata selepas mengharungi dua perlawanan.