Perubahan kedudukan Kumpulan F jelas kelihatan apabila Malaysia membelasah juara ASEAN Championship 2024, Vietnam 4-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado, La’Vere Corbin Ong dan Dion Cools memastikan Ekor Harimau Malaya meninggalkan SNBJ dengan ceria.
Selepas dua perlawanan, tampuk peneraju kumpulan kini dihuni Harimau Malaya. Kemenangan ke atas Pahlawan Bintang Emas membolehkan mereka mengumpul enam mata.
Lebih menarik, gawang anak buah Peter Cklamovski masih lagi tidak dibolosi selepas mengharungi dua perlawanan kelayakan Piala Asia 2027.
Kekalahan besar anak buah Kim Sang-sik menyaksikan mereka jatuh di tangga kedua dengan tiga mata. Kelebihan jaringan memastikan Vietnam tidak dipintas negara jiran, Laos.
Laos meraih kemenangan pertama dalam Kumpulan F apabila menewaskan Nepal 2-1. Kemenangan itu memastikan anak buah Ha Hyeok-jun meraih mata pertama dalam kumpulan.
Selepas ini, Malaysia berpeluang melebarkan kelebihan mata mereka apabila berdepan Laos pada 9 Oktober. Vietnam pula berharap dapat bangkit bila bertemu Nepal pada hari yang sama.