Stadium Utama Gelora Bung Karno (SUGBK) berpotensi menjadi gelanggang Harimau Malaya untuk kempen FIFA ASEAN Cup 2026.
CNN Indonesia melaporkan SUGBK dan Stadium Si Jalak Harupat Bandung sebagai gelanggang rasmi kejohanan. Perkara ini disahkan Presiden Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir.
Beliau memaklumkan surat jaminan rasmi kerajaan telah mendapat persetujuan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). Kini, Indonesia dan FIFA mengadakan perbincangan untuk memuktamadkan kontrak sebagai tuan rumah kejohanan.
“Bapak Presiden (Prabowo Subianto) sudah mengeluarkan surat jaminan kerajaan yang langsung dikirimkan kepada FIFA. Dan FIFA sendiri alhamdulillah sudah menjawab bahwa kita menjadi tuan rumah.
“Tetapi memang isi daripada kontrak tuan rumah tidak berbeza dengan waktu itu kita menjadi tuan rumah Piala Dunia B-17 (Bawah 17 Tahun). Jadi tidak banyak berbeza, cuma ini ada beberapa hal yang mungkin kita mahu selaraskan,” katanya.
SUGBK berpotensi menjadi gelanggang utama Indonesia memandangkan pasukan itu beraksi dalam Kumpulan A bersama Malaysia, India dan Singapura.
FIFA ASEAN Cup dijangka berlangsung dari 24 September hingga 4 Oktober ini. Kejohanan itu turut menawarkan ganjaran lumayan sebanyak AS$1 juta (RM4.1 juta).