Foto Imanol Machuca Bersama Jersi Malaysia Tertiris Awal
MakanBola
Fortaleza EC

Sekeping foto calon pemain warisan Harimau Malaya, Imanul Machuca bersama jersi Malaysia telah tular di media sosial.

Nama Machuca menjadi sebutan hangat penyokong Harimau Malaya ketika ini setelah laporan Radiogol.com dari Argentina mengatakan bahawa Machuca bakal menjadi pemain warisan baharu Malaysia.

Ini selepas pemain pertahanan, Facundo Garces yang beraksi bersama Deportivo Alaves dalam saingan La Liga diumumkan selaku pemain baharu menyertai Harimau Malaya pada Isnin.

“Kedua-dua pemain, Facundo Garcés serta Imanol Machuca kini dalam perjalanan ke Malaysia setelah dipanggil pasukan kebangsaan Harimau Malaya,” lapor Radiogol.com.

Walau bagaimanapun, sekeping gambar telah tular pada awal pagi Selasa yang menyaksikan kelibat wajah Imanol Machuca yang berseragam baju skuad kebangsaan Malaysia lengkap.

Gambar yang dimuat naik oleh wartawan dari Argentina, Maxi Ertola di laman X itu mendapat perhatian peminat bola sepak tempatan dan telah dikongsikan di beberapa platform media sosial lain.

Sehingga kini, tiada pengumuman rasmi lagi dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tentang status Imanol Machuca bersama pasukan kebangsaan setakat ini tatkala persiapan masih berjalan.

Skuad Harimau Malaya akan turun bertemu Cape Verde buat kali kedua dalam sebuah aksi persahabatan tertutup di Bukit Jalil pada Selasa, 3 Jun sebelum hadapi ujian getir Vietnam.