Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Hamidin Mohd Amin mengadakan pertemuan penting bersama pemangku ketua jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti di Sepanyol.
Pau Marti kini menjawat jawatan sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan bagi menggantikan tempat Kim Pan-gon yang mengumumkan perpisahannya pada Rabu.
“Kepada penyokong bola sepak Malaysia, hari ini saya ada mesej yang sedih kepada semua. Saya telah memilih untuk meletakkan jawatan sebagai Ketua Jurulatih Malaysia atas sebab peribadi,” umum Pan-gon.
Pelantikan Pau Marti dimaklumkan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi dalam sesi sidang media semalam dan tugasan pertama jurulatih kelahiran Sepanyol ini adalah pada kejohanan Pesta Bola Merdeka.
“Sudah pasti tugasan pertama Pau Marti selaku pemangku ketua jurulatih Harimau Malaya untuk mengemudi pasukan bagi kejohanan Pestabola Merdeka 2024 September ini,” maklum Datuk Wira Mohd Yusoff Haji Mahadi.
Terkini, menerusi satu hantaran di media sosial rasmi FAM menyaksikan Datuk Haji Hamidin telah bertemu Pau Marti di Sepanyol bagi membincangkan hala tuju skuad bola sepak kebangsaan selepas ini.
“Kebetulan juga Pau Marti sedang pulang bercuti di Sepanyol dan saya terus menghubungi beliau untuk datang ke Mallorca hari ini,” ujar Datuk Haji Hamidin dalam kenyataan di Facebook FAM.
“Ini bagi membincangkan serba sedikit hala tuju pasukan dan perancangan beliau selepas diumumkan sebagai pemangku ketua jurulatih kebangsaan bagi menggantikan Pan Gon.”
Tambah Datuk Haji Hamidin lagi, keputusan yang diambil oleh Pan-gon ternyata amat mengejutkan namun Pau Marti menyuarakan kesediaannya untuk meneruskan misi besar skuad negara dalam perlawanan mendatang.
“Biarpun kami berdua mash terkejut dengan keputusan drastik Pan-gon untuk meninggalkan pasukan, Pau Marti menyatakan bahawa beliau bersedia untuk menggalas tanggungjawab baharu ini dan mempunyai misi untuk terus memperkasakan skuad Harimau Malaya,” kata Datuk Haji Hamidin.
Datuk Haji Hamidin kini berada di Sepanyol sebagai Chef de Mission kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris dan sedang memantau rapi persiapan yang dilakukan oleh kem berbasikal trek negara.