Harimau Malaya kini hanya mampu untuk mempertaruhkan khidmat dua orang penyerang iaitu Syafiq Ahmad dan Luqman Hakim selepas Kim Pan-gon membuat keputusan untuk menggantikan Darren Lok dengan Zhafri Yahya.
Darren Lok yang juga merupakan penyerang pasukan PJ City terpaksa digugurkan apabila disahkan positif COVID-19 sekaligus terlepas peluang keemasan bersama pasukan kebangsaan.
Pan-gon memilih untuk menggantikan penyerang berusia 33 tahun itu dengan pemain terbaik perlawanan akhir Piala Malaysia, Zhafri Yahya untuk memantapkan lagi percaturan pasukan.
Ini juga sekaligus meninggalkan hanya dua orang sahaja penyerang tulen dalam kem Harimau Malaya ketika ini iaitu Syafiq dan juga Luqman.
Syafiq yang dipinjamkan oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) beraksi dengan cukup cemerlang terutamanya pada perlawanan menentang KL City tempoh hari apabila berjaya mencipta 1 gol dan juga 1 bantuan gol.
Penyerang berusia 27 tahun itu dilihat sudah mula untuk menemui rentak terbaiknya apabila semakin mendapat tempat di bawah kendalian jurulatih Aidil Sharin.
Selain itu, Pan-gon juga mahu mempertaruhkan khidmat Luqman Hakim sunguhpun penyerang muda itu kurang mendapat tempat bersama pasukan KV Kortrijk.
Namun begitu, baru-baru ini, pemain berusia 20 tahun itu berjaya memperoleh aksi selama 74 minit bersama pasukan bawah 21 tahun di sana.
Dengan usaha beliau menerusi khidmat jurulatih tambahan, sudah pasti Luqman mahu memanfaatkan peluang sekiranya diberikan kepercayaan untuk mengetuai jentera serangan negara.
Skuad Harimau Malaya dijadual menentang Filipina pada 23 Mac dan tuan rumah Singapura pada 26 Mac dalam perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional Singapura sebelum bertemu pasukan Liga Singapura Albirex Niigata pada 28 Mac di Stadium Jalan Besar.
Pemain yang melaporkan diri dijadual berlatih di Stadium Nasional Bukit Jalil selama lapan hari sebelum berlepas ke Singapura pada 22 Mac ini bagi menghadapi perlawanan tersebut.