Skuad Harimau Malaya dilaporkan melepaskan 4 lagi pemain tatkala kem latihan ketika ini memasuki fasa ke-3.
Setelah cemerlang mengikat Cape Verde dalam aksi pertama Khamis lalu, kem Harimau Malaya di bawah kendalian Peter Cklamovski ketika ini kembali membuat persiapan untuk fasa seterusnya.
Pada fasa ke-3 ini, pemain-pemain negara yang beraksi di luar negara akan kembali memperkuat pasukan antaranya bek kanan Buriram, Dion Cools dan juga perancang tengah, Hector Hevel.
Malah, beberapa pemain warisan yang dilaporkan sebelum ini turut berpotensi besar akan tiba pada awal Jun ini ketika pasukan sedang di dalam fasa terakhir menjelang aksi getir nanti.
Oleh itu, Harimau Malaya terpaksa melepaskan 4 lagi pemain iaitu Fergus Tierney, Syed Nasrulhaq, Hong Wan dan Safwan Mazlan bagi memberi ruang kepada tonggak yang bakal tiba selepas ini.
Ujian seterusnya menanti pasukan kebangsaan adalah Cape Verde sekali lagi pada aksi persahabatan tertutup di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 3 Jun sebelum menentang Vietnam pada 10 Jun.