Kapten Harimau Malaya, Dion Cools mengucapkan salam perpisahan untuk Buriram United dengan sebuah jaringan yang membawa kepada satu lagi kejuaraan trofi di Thailand.
Terdahulu, nama Dion Cools telah menjadi sebutan peminat Malaysia dan Thailand apabila dilaporkan bakal berhijrah ke Cerezo Osaka sebaik musim 2024-2025 ini melabuhkan tirai.
Perkara ini turut disahkan oleh Pemilik Buriram United, Newin Chidchob yang meminta penyokong supaya merelakan Cools berhijrah ke Jepun dengan Cerezo Osaka berpotensi menjadi destinasi baharu.
“Bukakan hati anda untuk merelakan pemergian Dion Cools ke saingan liga Jepun,” katanya seperti yang dilaporkan Think Curve.
Oleh itu, final Thai League Cup menentang Lamphun Warrior pada Sabtu menjadi perlawanan terakhir buat Cools bersama Buriram pada musim ini sebelum pemain ini memilih destinasi seterusnya.
Perlawanan itu dilihat menjadi penutup yang manis buat Dion Cools apabila berjaya mencetak gol di masa tambahan untuk memastikan satu lagi kejuaraan berada di dalam genggaman Buriram.
Gol yang terhasil menerusi gerakan serangan balas itu adalah jaringan ke-5 Dion Cools bersama Buriram yang juga trofi ke-4 pada musim ini setelah muncul juara Thai League 1, Thai FA Cup dan Shopee Cup.
Momen manis ketika acara penyampaian hadiah apabila Dion Cools diberikan tanggungjawab memakai lilitan kapten untuk menerima serta menjulang trofi Thai League Cup di hadapan peminat.
Secara statistik, Cools merekodkan 53 penampilan bersama Buriram United sepanjang musim ini selain turut mencetak 5 gol dan melakukan 10 bantuan jaringan dalam kesemua lima kejohanan.