Penjaga gawang Harimau Malaya, Haziq Nadzli tampil cemerlang ketika aksi menentang Singapura apabila cemerlang menafikan 3 percubaan merbahaya lawan.
Skuad negara bimbingan Pau Marti turun bertemu Singapura dengan misi penting memburu 3 mata sekaligus menempah tempat ke peringkat separuh akhir ASEAN Mitsubishi Electric Cup.
Tidak banyak perubahan di dalam kesebelasan utama negara dengan Haziq Nadzli masih diberi tugas mengemudi gawang meskipun dihentam teruk akibat prestasi hambar di Bangkok minggu lalu.
Seperti dijangka, pasukan negara tampil mengasak sebaik wisel permulaan dibunyikan dengan gerakan oleh Endrick dan Sergio Aguero acap kali menguji Izwan Mahbud di pintu gol Singapura.
Deretan peluang terhidang di sepanjang 90 minit permainan gagal diterjemahkan di dalam bentuk jaringan oleh barisan pemain negara sekaligus mengakhiri aksi dengan keputusan 0-0.
Di sebalik serangan bertali arus Harimau Malaya, Singapura juga beberapa kali sempat hadir dengan taktik serang balas pantas yang hampir memerangkap bek pertahanan negara.
Mujur, Haziq muncul wira dengan persembahan berkualiti tinggi yang menyelamatkan pintu gol negara terutamanya dua percubaan merhabaya di minit akhir oleh Ryhan Stewart.
Stewart miliki 2 peluang terbaik di masa tambahan menerusi percubaan 1 lawan 1 dan tandukan bebas namun Haziq lebih bersedia menyelamatkan serangan berturut-turut Singapura itu.
Sebelum itu juga, Haziq sempat menepis rembatan jarak jauh pertahanan Singapura, Amirul Adli pada minit ke-57 dengan menerbangkan badan dan menyelamatkan gawang Malaysia.
Di akhir perlawanan, Haziq telah dinobatkan selaku pemain terbaik perlawanan sekaligus membalas kritikan teruk yang diterima oleh penjaga gol Perak ini sebelum ini