Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Imigresen FC, Datuk Syed Mahadi Syed Hassan tidak menolak kemungkinan pasukan itu akan melalui penjenamaan semula.
Syed Mahadi melihat ini langkah terbaik untuk membantu kelangsungan kelab untuk tahun-tahun mendatang.
Ini juga dilihat sejajar dengan hasrat pasukan itu untuk menjadi pasukan elit dalam Liga Malaysia (Liga M) dengan sokongan padu penyokong.
“Cadangan ada. Sebab macam saya sebut tadi, kalau kita bukan berpangkalan di negeri ini, kita sukar untuk dapat sokongan daripada apa peminat-peminat.
“Jadi, cadangan itu ada tapi pelaksanaannya saya tak tahu bila (ia akan dilakukan). Insya Allah, kita pun sebenarnya ke arah itu.
“Dan kita dapat sambutan baik daripada peminat-peminat Perlis dan Kedah juga,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
Imigresen juga fokus untuk menamatkan musim dalam kelompok enam pasukan terbaik musim ini.
Anak buah Yusri Che Lah kini menghuni tangga ketujuh liga selepas meraih enam kemenangan, empat seri dan 10 kali tewas dengan kutipan 22 mata.
Selepas ini, Imigresen akan menentang PDRM FC pada 25 April ini. PDRM dijangka menjanjikan cabaran sukar selepas isu gaji yang membelenggu pasukan itu telah berakhir.