Perlawanan pertama kumpulan B Piala Mitsubishi Electric Asean menyaksikan Indonesia mencatatkan kemenangan tipis ke atas Myanmar di Stadium Thuwunna.
Diundi di dalam kumpulan B, Indonesia selaku semi finalis edisi lalu dijadualkan terbang ke Yangon untuk menentang Myanmar yang menamatkan saingan di peringkat kumpulan dua tahun lalu.
Marselino Ferdinan dan Pratama Arhan menjadi taruhan oleh jurulatih Indonesia, Shin Tae-yong sementara Myanmar pula menurunkan tonggak Kelantan, Aung Kaung Mann di jentera serangan.
Aksi berlangsung seimbang di awal permainan dengan Sang Garuda dilihat selesa melakukan corak hantaran pendek di kawasan tengah memaksa Myanmar untuk menekan pelawat.
Peluang terbaik untuk Myanmar hadir di minit ke-37 apabila percubaan jarak jauh Zaw Win Thein menggegar palang gol Indonesia di saat penjaga gawang sudah pun tertewas
Separuh masa pertama tamat, Myanmar 0-0 Indonesia.
Kembali dari rehat, Tae-yong melakukan pertukaran dengan membawa masuk dua tonggak utama, Asnawi Mangkualam dan Rafael Struick dalam usaha pasukan memburu jaringan.
Kemasukan Asnawi memberi hasil positif apabila pemain Port FC itu meledak gol pertama buat Indonesia pada minit ke-76 berpunca situasi kelam kabut dalam kotak penalti Myanmar.
Aksi di Stadium Thuwunna berakhir dengan keputusan 1-0 memihak Indonesia.
Saingan kumpulan B bakal bersambung pada 12 Disember dengan Indonesia bakal menerima kunjungan Laos tatkala Myanmar pula terbang ke Manila untuk berdepan Filipina.