“Ini Bukan Semangat Sebenar KL City” – Giancarlo Gallifuoco
MakanBola
KL CIty FC

Kapten Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Giancarlo Gallifuoco menyatakan keazaman untuk membantu pasukan itu menamatkan kempen Liga Super dengan positif.

Hasrat itu dizahirkan beliau selepas melihat KL City dibelasah 7-0 oleh juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 2 Mei lalu.

Gallifuoco menyifatkan apa yang berlaku dalam perlawanan itu langsung tidak menggambarkan semangat sebenar KL CIty.

Atas sebab itu, bekas bek tengah Tottenham Hotspur itu mahu rakan-rakan sepasukan agar segera melupakan kekalahan tersebut dan menutup kempen liga dengan positif.

“Kita berhutang setiap penyokong permohonan maaf selepas perlawanan ini. Saya juga kecewa seperti anda kerana ini bukan semangat KL yang kita ada selama bertahun-tahun pada malam ini.

“Dan bagi pihak pasukan, kita memohon maaf, amat sukar untuk bangkit selepas beraksi dengan 10 pemain menentang JDT.

“Tapi satu perkara saya boleh janji ialah kita akan bermuhasabah dan bangkit untuk dua aksi terakhir musim ini. Ini janji saya! Terima kasih atas sokongan tak berbelah bahagi anda kepada kami dan bagi saya, Sampai Mati Kuala Lumpur,” katanya di ruang komen Instagram.

Kekalahan besar itu dilihat menyukarkan peluang KL City untuk memburu slot tempat kedua Liga Super. Ini kerana naib juara liga berpeluang layak ke Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).

Selepas ini, KL City akan menentang Negeri Sembilan FC dalam aksi liga seterusnya pada 10 Mei ini.