Pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor memberi respon tentang cadangan agar skuad Harimau Selatan tidak lagi bersaing dalam di Liga Malaysia.
Baru-baru ini, tercetus perdebatan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan apabila ada yang mengatakan bahawa JDT adalah punca saingan Liga Malaysia tidak lagi kompetitif.
Hal ini dilihat dari dominasi oleh pasukan Harimau Selatan itu yang telah pun merangkul kejuaraan Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut selain beberapa trofi domestik yang lain.
Malah, JDT turut melakar nama di rantau Asia apabila berada dalam kedudukan terbaik untuk layak ke pusingan kalah mati AFC Champions League Elite dengan menghuni tangga ke-5 ketika ini.
Kejayaan itu menyumbang mata penting kepada kedudukan Malaysia dalam AFC MA Ranking untuk memastikan tempat buat kelab negara beraksi di kejohanan kelab tertinggi Asia.
Maka, Tunku Ismail dalam satu kenyataan berkata, JDT kini satu-satunya kelab dari Malaysia yang beraksi di peringkat Asia dan seharusnya diberi sokongan serta kebanggaan.
“Kitalah satu satunya kelab. Patut yang ada berasa bangga kita wakil negara (Malaysia), Asia Tenggara serta memberi sumbangan dalam AFC MA Ranking,” tegas Tunku Ismail.
Walau bagaimanapun, segelintir pihak yang tak berpuas hati masih kekal dengan cadangan supaya JDT dikeluarkan dari liga selain turut mengutuk penganjuran liga domestik sendiri.
“Ini tidak, nak kami (JDT) keluar dari liga dan mengutuk liga sendiri pasal tak puas hati,” tambah Baginda.
Tunku Ismail sempat mengingatkan pihak pengurusan kelab agar fokus kepada hal-hal penting seperti pengurusan dana serta pembangunan infrastruktur berbanding menuding jari kepada orang lain.
“Pasukan sendiri dan orang dalam pengurusan masing-masing yang tak betul dengan pelbagai isu, (kemudian) salahkan liga dan badan induk.”
“Anda uruskan dana, perancangan pasukan, pembangunan, dan infrastruktur dengan cara yang tidak betul, tapi ambil jalan mudah salahkan orang lain. Itu adalah mentaliti kalah dan tidak bertanggungjawab.”