Bekas penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Izham Tarmizi Roslan beri bayangan bakal memulakan perjalanan baharu tidak lama lagi.
Nama Izham Tarmizi menjadi antara 11 orang pemain yang diumumkan tidak lagi bersama JDT pada musim hadapan selain dua tonggak senior, Safiq Rahim dan Farizal Marlias.
Di laman Instagram, Izham sempat menzahirkan perasaan hiba tatkala mengenang momen manis bersama JDT yang terlalu bermakna baginya untuk dikenang di dalam hatinya.
”Ada detik yang terlalu bermakna untuk diungkapkan dengan kata-kata. Kenangan ini akan tersemat selamanya dalam hati saya,” tulis Izham Tarmizi di laman Instagram.
Beliau turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih buat JDT dan Pemilik, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor di dalam hantaran yang sama.
”Terima kasih JDT. Junjung kasih DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.”
Malah, beliau juga bakal memulakan perjalanan baharu tidak lama lagi namun tidak dapat dipastikan ke mana hala tujunya selepas ini sama ada akan mencari pasukan lain atau beralih ke bidang kejurulatihan.
”Perjalanan baru bakal bermula selepas ini, insya-Allah,” tambah penjaga gol berusia 34 tahun itu.
Untuk rekod, Izham tiba di JDT pada tahun 2014 dan telah merekodkan 43 penampilan dengan 18 aksi tanpa dibolosi selain merangkul sebanyak 8 trofi termasuklah Piala AFC 2015.