Salah sebuah komen yang ditinggalkan oleh bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi 3 bulan lalu kini menjadi kenyataan.
Arif Aiman menjawab persoalan yang diajukan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam di laman media sosial threads sebelum ini berkenaan calon pemenang Anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga M Awards 2025-2026.
Di ruangan komen, bintang berusia 24 tahun itu memilih rakan sepasukan beliau di JDT, Afiq Fazail sebagai calon terbaik bagi merangkul Anugerah MVP selepas tampil konsisten bersama skuad Harimau Selatan sepanjang musim lalu.
Pilihan Arif itu menjadi kenyataan apabila nama Afiq Fazail diumumkan selaku pemenang Anugerah MVP ketika acara Liga M Awards 2025-2026 yang berlangsung cukup gah pada Rabu lalu di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri.
Kemenangan Afiq sebagai MVP Liga Malaysia edisi ini menyaksikan legasi pemain JDT meraih anugerah berprestij ini berterusan selepas turut dimenangi oleh Safawi Rasid (2018 & 2019) dan Arif Aiman Hanapi (2021, 2022, 2023 & 2024-2025).
Berdasarkan rekod, Afiq Fazail mencatatkan 43 penampilan serta 8 bantuan gol bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) musim ini, selain mengumpul 2,777 minit permainan sekali gus muncul antara pemain tempatan dengan minit permainan tertinggi dalam pasukan.