Advertisements
Japan Masters: Leong Jun Hao Singkirkan Pemain No. 1 Indonesia, Tempah Tiket Final
UltraSukan
UltraSukan
BA Malaysia

Jaguh perseorangan lelaki Malaysia, Leong Jun Hao memberi tentangan sengit kepada Jonatan Christie sebelum mara ke final Japan Masters 2024.

Selepas Lee Zii Jia tersingkir di peringkat suku akhir, Jun Hao menjadi wakil tunggal Malaysia dalam acara perseorangan lelaki.

Pemain berusia 25 tahun itu mara ke separuh akhir selepas menewaskan jaguh tuan rumah, Kodai Naraoka dengan keputusan 21-17, 9-21, 21-16.

Aksi menentang Jonatan turut disifatkan sebagai peluang membalas dendam buat Jun Hao. Ini kerana jaguh Indonesia itu menewaskan beliau dalam pusingan pertama Denmark Open 2024 pada Oktober lalu.

Set pertama menyaksikan Jun Hao berusaha memberi tentangan kepada juara All England Open 2024 itu. Jonatan memanfaatkan kelebihan pukulan smash derasnya untuk membolehkan beliau mendahului pada kedudukan 11-7.

Pemain berusia 27 tahun itu terus mempertahankan kelebihan yang dimiliki sebelum meraih kemenangan dengan keputusan 21-10.

Set kedua menyaksikan Jun Hao mempamerkan kebangkitan dengan kerap melakukan pukulan pantas terhadap Jonatan. Ini membolehkan beliau mendahului pada kedudukan 11-9.

Meskipun Jonatan cuba mengejar, bekas juara Malaysia Masters 2023 itu meraih kemenangan set kedua dengan keputusan 21-18. Keadaan ini menyaksikan perlawanan diheret ke set penentuan.

Set penentuan menyaksikan Jonatan kembali garang untuk mendahului Jun Hao pada kedudukan 9-6. Situasi itu tidak mematahkan semangat Jun Hao sebelum akhirnya meraih kemenangan dengan keputusan 22-20.

Kemenangan Jun Hao menyaksikan Malaysia memiliki satu wakil di peringkat final Japan Masters 2024. Ini selepas dua lagi wakil negara yang beraksi di peringkat separuh akhir, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong tewas kepada lawan masing-masing.

Jun Hao bakal berdepan cabaran sukar untuk meraih gelaran juara Japan Masters 2024. Ini kerana beliau perlu berdepan sama ada pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2024, Viktor Axelsen atau jaguh China, Li Shi Feng di peringkat akhir.