JDT Bawa Identiti Harimau Selatan Pada Jersi Baharu
MakanBola
Johor Southern Tigers

Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) melancarkan jersi baharu bagi musim 2026/27 dalam satu majlis bersama para penyokong di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu.

Harimau Selatan terus mengekalkan Nike sebagai pengeluar rasmi jersi pasukan untuk tahun ke-12 sejak musim 2014, sekali gus meneruskan kerjasama kukuh antara kedua-dua pihak.

Bagi musim baharu ini, JDT memperkenalkan tiga rekaan jersi iaitu ‘Home’, ‘Away’ dan ‘Alternate’, dengan jersi ‘Alternate’ berwarna merah jambu telah diperkenalkan lebih awal pada 1 Ogos lalu.

Jersi ‘Home’ mengekalkan warna tradisi Johor menerusi gabungan dua rona biru ikonik iaitu ‘Blue Void’ dan ‘Deep Royal Blue’, selain menampilkan corak belang Harimau yang diinspirasikan daripada identiti serta simbol kebanggaan kelab.

Rekaan tersebut turut dilengkapkan dengan kemasan merah ‘Sport Red’ pada bahagian hujung lengan dan sisi jersi bagi memberikan penampilan yang lebih menyerlah.

Sementara itu, jersi ‘Away’ tampil dengan rekaan serba putih yang diserikan jalur biru ‘Blue Void’ pada bahagian hujung lengan dan sisi untuk menghasilkan elemen kontras yang lebih elegan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia, pelancaran jersi baharu itu hadir ketika Harimau Selatan melangkah ke musim baharu dengan cabaran dalam kejohanan domestik, serantau dan benua.

Kerjasama jangka panjang bersama Nike turut disifatkan sebagai gambaran kepercayaan terhadap visi dan hala tuju JDT dalam menghasilkan jersi yang mempunyai identiti tersendiri buat para penyokong.

Kempen pelancaran jersi baharu itu turut mengambil inspirasi daripada sifat semula jadi seekor harimau dalam mempertahankan wilayahnya, selari dengan status JDT sebagai juara bertahan yang terus menjadi sasaran pencabar.

Dari segi teknologi, jersi baharu ini mengekalkan teknologi Nike Dri-FIT yang menggabungkan fabrik penyerap peluh dengan panel jejaring beraliran udara bagi memberikan rasa ringan, kering dan selesa ketika dipakai.

Jersi ‘Home’ dan ‘Away’ turut menampilkan logo JMYR di bahagian hadapan, manakala logo UMW Toyota Motor ditempatkan di bahagian belakang dan logo JCorp menghiasi bahagian hujung kiri lengan.

Jersi ‘Home’ dan ‘Away’ ditawarkan pada harga RM299 sehelai, manakala jersi ‘Alternate’ dijual pada harga RM189 dan ‘Home Youth’ pada harga RM235.

Para penyokong boleh mendapatkan jersi baharu tersebut menerusi JDT Online Store atau secara terus di JDT Direct Megastore, Stadium Sultan Ibrahim.