Johor Darul Ta’zim (JDT) IV mengatasi cabaran pasukan Pantai Timur, Terengganu FC IV untuk meraih gelaran juara Piala Belia 2024.
Kedua-dua pasukan mengintai peluang menjadi juara baru kejohanan selepas juara bertahan, Selangor FC tersingkir di peringkat separuh akhir. JDT IV dan Terengganu IV terikat 2-2 dalam aksi pertama final kejohanan pada 16 November lalu.
Trio penjaring terbanyak JDT IV iaitu Abid Safaraz Rozaidi, Daniesh Amirruddin dan Zamir Zairi menjadi sandaran gol Pedro Collado Celda. Manakala Arsyad Shamsul Aswadi menjadi pilihan Wan Adremy Indra Wan Adnan untuk merobek gawang pelawat.
Separuh masa pertama menyaksikan skuad muda Harimau Selatan berusaha mencari kelebihan gol awal dalam aksi final kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).
Abid Safaraz hampir meletakkan pelawat di hadapan seawal minit kelapan. Malangnya, rembatan pemain Malaysia Bawah 19 Tahun (B-19) itu berjaya ditepis penjaga gol Terengganu IV, Ariff Safwan Suhaimi.
JDT IV kemudiannya dianugerahkan sepakan penalti pada minit ke-16. Ini selepas pengadil perlawanan, Amirul Zamil Abd Jamil mengesan kekasaran ke atas pemain pasukan itu dalam kotak penalti.
Daniesh meletakkan JDT IV di hadapan selepas tenang menewaskan Ariff Safwan. Ini menyaksikan JDT IV mendahului 3-2 dari segi kedudukan agregat.
Skuad muda Harimau Selatan kemudiannya dianugerahkan satu lagi sepakan sepakan penalti. Ini selepas Ariff Safwan dikesan melakukan terjahan tinggi ke atas Abid Safaraz.
Situasi ini mencetuskan pertelagahan antara pemain kedua-dua pasukan. Selepas berjaya mengawal keadaan, Amirul Zamil kemudiannya melayangkan kad kuning kepada beberapa pemain termasuk Ariff Safwan.
Zamir menambah gol ke-10 dalam Piala Belia 2024 apabila mudah menyempurnakan penalti pada minit ke-26.
Keceriaan kem pelawat tidak bertahan lama Terengganu IV merapatkan jurang pada minit ke-34. Che Ku Irfan Danial mudah menolak bola melepasi penjaga gol JDT IV, Danial Idraqi Mohd Asmir.
Iskandar Akmal Sabri memastikan kedua-dua pasukan terikat 2-2 menerusi rembatan lencong pada minit akhir babak pertama.
Bersambung selepas rehat, JDT IV terus menggandakan serangan untuk memburu gol ketiga mereka.
Zamir sekali lagi menceriakan kem pelawat dengan meledakkan gol ketiga pada minit ke-58. Beliau melakukan rembatan lencong dari luar kotak penalti yang menewaskan Ariff Safwan.
Terengganu IV menyangka mereka mendapat sepakan penalti pada minit ke-71. Walau bagaimanapun, Amirul Zamil hanya memberi sepakan sudut kepada tuan rumah.
JDT IV terus melebarkan kelebihan mereka menerusi kapten, Adib Ibrahim Adnan dua minit selepas itu. Ini menjadikan kedudukan agregat 6-4 memihak kepada pelawat.
Abid Safaraz melengkapkan malam gemilang JDT IV dengan meledakkan gol kelima pada minit ke-85. Terengganu meraih gol lewat pada minit akhir babak kedua tetapi itu sudah terlambat untuk menghalang kemenangan pelawat.
Keputusan agregat 7-5 ini menyaksikan JDT IV mengikut jejak skuad JDT III dan JDT B-14 meraih trofi baru-baru ini.
JDT III muncul juara Piala Presiden 2024 dengan JDT B-14 meraih gelaran juara Piala Supermokh 2024. Sementara Terengganu IV terus kempunan meraih kejuaraan Piala Belia buat kali pertama sejak 2019.