Hasrat Johor Darul Ta’zim (JDT) IV meraih kelebihan awal dalam aksi pertama final Piala Belia 2024 tidak kesampaian apabila diikat Terengganu FC IV 2-2.
JDT IV berharap dapat meraih gelaran juara selepas kempunan bergelar juara pada 2023. Manakala Terengganu IV pula memburu gelaran juara buat kali pertama sejak 2019.
Abid Safaraz Rozaidi dan Daniesh Amirruddin menjadi sandaran gol pengendali JDT IV, Pedro Collado Celda. Manakala Arsyad Shamsul Aswadi menjadi pilihan Wan Adremy Indera Wan Adnan untuk merobek gawang tuan rumah.
Separuh masa pertama menyaksikan skuad muda Harimau Selatan berusaha menggugat gawang pelawat menerusi Abid, Daniesh dan Zamir Zairi.
Ini memaksa penjaga gol Terengganu IV, Ariff Safwan Suhaimi bekerja keras menepis setiap gerakan serangan yang direncana anak buah Collado Celda.
JDT IV kemudiannya dianugerahkan sepakan penalti pada minit ke-32 oleh pengadil perlawanan, Mohamad Nawal Mohammad Zubir. Ini selepas pemain pertahanan Terengganu IV, Aqif Ashraff Shahidan dikesan menjatuhkan pemain JDT IV dalam kotak penalti.
Hasrat tuan rumah meraih gol awal tidak kesampaian apabila Ariff berjaya menepis penalti yang diambil Abid.
Kesungguhan Harimau Selatan memburu gol pendahuluan akhirnya berhasil menerusi Qahir Dzakirin Rosfaizi pada minit akhir babak pertama. Keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung selepas rehat, skuad muda Peteh berusaha memberi tekanan untuk mendapatkan gol penyamaan.
Terengganu IV hampir meraih gol penyamaan menerusi Iman Alif Hasman pada minit ke-50. Malangnya, percubaan deras Iman hanya melepasi bahagian tepi gawang tuan rumah.
Pencarian gol kedua JDT IV berhasil menerusi Alauddeen Aliff Fua-ad pada minit ke-52. Kesilapan dua pemain Terengganu IV membuka ruang buat Alauddeen menyumbat gol.
Walau bagaimanapun, penjaring kedua JDT IV itu terpaksa dibawa keluar akibat kecederaan. Ini mendorong Collado Celda membawa masuk Lutfil Hadi Sahabudin sebagai pemain gantian.
Skuad muda Peteh mendapat talian hayat apabila Arsyad mudah menewaskan penjaga gol JDT IV, Danial Idraqi Mohd Asmir pada minit ke-64.
Arsyad hampir menyumbat gol ke-16 untuk Terengganu IV pada minit ke-74. Malangnya, bola yang dihantar ke dalam kotak penalti pantas disekat Danial sebelum sempat ditanduk penjaring terbanyak pasukan itu.
Gol penyamaan yang dicari Terengganu IV akhirnya muncul dua minit selepas itu menerusi Miqail Zafran Zidane Muhammad Zaidi.
Kedua-dua pasukan terus memburu jaringan kemenangan tetapi keputusan 2-2 kekal sehingga tamat perlawanan.
Terengganu IV dan JDT IV bakal berentap buat kali kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak pada 23 November untuk menentukan gelaran juara.