JDT Nafi Dibiayai Dana Awam & Kerajaan
MakanBola
Johor Southern Tigers

Johor Darul Ta’zim (JDT) menafikan dakwaan yang tular di media sosial bahawa sebahagian besar hasil pendapatan kelab itu datang daripada sumber awam atau dana kerajaan.

Menurut kelab itu, dakwaan yang menyatakan bahawa 91 peratus daripada pendapatan JDT pada tahun 2024 berpunca daripada sumber berkaitan kerajaan adalah tidak tepat, tidak berasas serta berpunca daripada salah tafsir terhadap fakta sebenar.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pegawai Operasi dan Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards, pihak kelab menjelaskan bahawa walaupun akaun kewangan teraudit JDT menyenaraikan Majlis Sukan Negeri Johor serta geran atau sumbangan kerajaan, perkara tersebut hanyalah prosedur operasi standard dalam proses penyaluran dana sukan.

Menurut beliau, dana berkenaan disalurkan melalui saluran rasmi seperti Majlis Sukan bagi pelbagai tujuan termasuk urusan pentadbiran dan pematuhan prosedur kewangan.

“Walaupun akaun kewangan teraudit JDT menyenaraikan Majlis Sukan Negeri Johor serta geran atau sumbangan kerajaan, ia hanyalah prosedur operasi standard di mana dana disalurkan melalui saluran tersebut bagi pelbagai tujuan,” jelas beliau.

Tambah Edwards, adalah menjadi amalan biasa dalam industri sukan di Malaysia bahawa penajaan daripada syarikat swasta disalurkan melalui Majlis Sukan di peringkat negeri atau kebangsaan bagi membolehkan syarikat penaja mendapatkan pelepasan cukai.

“Untuk rekod, adalah menjadi amalan biasa di Malaysia bahawa semua penajaan sukan daripada syarikat swasta — yang merupakan sebahagian besar daripada 91 peratus yang didakwa dalam kes ini — disalurkan melalui Majlis Sukan bagi tujuan pelepasan cukai kepada syarikat-syarikat berkenaan. Oleh itu, semua penaja-penaja swasta JDT juga menyalurkan dana penajaan melalui Majlis Sukan.”

Dalam masa sama, beliau menjelaskan bahawa geran serta sumbangan kerajaan yang diterima adalah khusus untuk tujuan pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi.

Dana tersebut digunakan bagi menyokong pelbagai program pembangunan termasuk penganjuran kejohanan remaja serta pelaksanaan program pembangunan bola sepak di seluruh daerah di negeri Johor.

“Geran dan sumbangan kerajaan yang diberikan pula adalah khusus untuk pembangunan sukan di peringkat akar umbi, termasuk penganjuran kejohanan remaja serta program pembangunan akar umbi di semua daerah di Johor.”

Menurut Edwards lagi, sebahagian besar dana berkenaan turut disalurkan kepada Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) serta persatuan bola sepak daerah bagi melaksanakan program pembangunan tersebut.

Pada masa sama, JDT menegaskan bahawa tiada sebarang geran kerajaan digunakan untuk operasi bola sepak kelab termasuk bagi menampung perbelanjaan pasukan utama atau pengurusan kelab.

“JDT ingin menjelaskan bahawa tiada satu pun daripada geran ini digunakan untuk operasi bola sepak kelab, termasuk perbelanjaan pasukan utama, gaji kakitangan, operasi Akademi JDT mahupun penyelenggaraan aset kelab.”

Penjelasan ini dibuat bagi memperbetulkan dakwaan yang tular sebelum ini serta memberikan gambaran sebenar mengenai struktur penajaan dan pengurusan kewangan kelab tersebut.