Advertisement
JDT Racing Team Sasar Tarik Jenama Besar Taja Pasukan
UltraSukan
UltraSukan
JDT Racing Team

JDT Racing Team memasang impian untuk bekerjasama dengan lebih banyak jenama-jenama besar di masa akan datang.

Perkara ini diluahkan oleh Ketua Pemasaran JDT, Kevin Ramalingam ketika Sidang Media Pengenalan JDT Racing Team di Iskandar Puteri pada pagi Jumaat.

Beliau berharap adanya penglibatan daripada jenama-jenama besar untuk bersama mereka tidak kira sama ada jenama tempatan mahupun antarabangsa seperti mana pasukan bola sepak JDT.

“Tanpa mendedahkan lebih, kerana kita masih mengharap lagi penaja-penaja di dalam sukan permotoran ini akan terlibat sama dengan kita dan percaya kepada pengurusan JDT,” katanya ketika sesi sidang media.

“Seperti penaja-penaja kita di dalam (sukan) bola sepak yang kita boleh nampak (bertaraf) antarabangsa dan juga mengandungi jenama-jenama ternama dari Malaysia juga seperti Malaysia Airlines dan sebagainya.”

Menurut beliau lagi, kepercayaan daripada pihak penaja sekurangnya dapat mengurangkan kos yang ditanggung oleh JDT Racing Team memandangkan ini merupakan musim pertama JDT menembusi sukan permotoran.

“Kita berharap kepercayaan itu mereka teruskan kepada JDT Racing Team juga untuk mengurangkan kos daripada pihak JDT tetapi memakan beberapa juta ringgit juga untuk musim pertama kita,” ujar beliau lagi.

Pada sidang media tersebut, JDT Racing Team memperkenalkan secara rasmi pelumba mereka, Hafizh Syahrin dan jentera yang bakal digunakannya bagi musim 2024.

JDT Racing Team bakal membuka tirai saingan ARRC 2024 di Litar Antarabangsa Chang di Buriram, Thailand pada 15 hingga 17 Mac sebelum mengakhiri sirkit enam perlumbaan di litar yang sama pada 6 hingga 8 Disember 2024.