Bekas pemain sayap Barcelona B, Nahuel Leiva sah memilih Malaysia sebagai destinasi baharunya selepas diumumkan sebagai pemain terbaru Johor Darul Ta’zim (JDT).
Perpindahan pemain berusia 29 tahun itu diumumkan pengurusan Harimau Selatan di semua platform rasmi pasukan itu. Pengumuman itu sekaligus menamatkan teka-teki tentang destinasi Leiva sejak bergelar ejen bebas pada awal Ogos lalu.
“Matías Nahuel akan memanggil Johor Darul Ta’zim FC rumah baharu!” kata kelab dalam satu kenyataan.
Nama pemilik nama sebenar Matías Nahuel Leiva Esquivel itu mencuri perhatian ramai peminat bola sepak susulan kisahnya yang meninggalkan Maccabi Haifa demi Palestin.
Sejak tiba di Israel pada pertengahan 2024, Leiva merasa terkesan dengan tindakan kejam rejim negara itu terhadap rakyat Palestin. Hal ini mendorong beliau berusaha mencari jalan meninggalkan Maccabi Haifa seawal Januari 2025.
Meskipun Leiva mendapat tawaran perpindahan pinjaman dan tetap daripada beberapa kelab, Maccabi Haifa enggan melepaskan beliau. Kelab itu berbuat demikian atas alasan beliau masih memiliki kontrak selama empat tahun.
Leiva kemudiannya dibenarkan menyertai kelab Poland, Jagiellonia Bialystok secara pinjaman pada separuh kedua musim 2025/26. Graduan akademi Villarreal itu kemudiannya meninggalkan Maccabi Haifa selepas kelab itu menamatkan kontraknya secara persetujuan bersama.
Perpindahan ini menyaksikan Leiva beraksi di Asia buat kali pertama dalam kariernya. Sebelum menyertai JDT, majoriti kariernya dihabiskan di Eropah.
Leiva menjadi pemain terbaru menyertai JDT selepas Stoichkov, Carlos Akapo, Brad Tapp, Shahab Zahedi, Dejan Petrovic dan Kevin Medina.