Juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT), menyambut baik cadangan beberapa kelab Liga Malaysia untuk mengadakan perbincangan meja bulat bagi menangani isu kewangan yang semakin meruncing dalam kalangan pasukan.
Menerusi satu kenyataan rasmi, JDT menyatakan sokongan terhadap inisiatif tersebut yang dianggap sebagai langkah positif ke arah mencari penyelesaian bersama, khususnya dalam situasi mencabar yang sedang dihadapi kebanyakan kelab dalam saingan Liga Super Malaysia.
Namun begitu, juara Liga Super 12 kali itu turut menegaskan bahawa perbincangan tersebut tidak seharusnya melibatkan pihak pengurusan kelab semata-mata.
Sebaliknya, JDT juga memberikan cadangan supaya wakil penyokong, termasuk kumpulan ultras dan kelab penyokong rasmi setiap pasukan, turut diberikan ruang untuk terlibat sama.
Menurut mereka, penyertaan penyokong amat penting bagi memastikan idea dan cadangan yang dibincangkan dapat didengar secara telus oleh semua pihak berkepentingan, sekali gus mewujudkan ekosistem bola sepak yang lebih inklusif.
Cadangan ini hadir ketika bola sepak tempatan sekali lagi berdepan isu kewangan yang berulang, terutamanya melibatkan tunggakan gaji pemain dan pengurusan kelab.
Sehubungan itu, cadangan meja bulat ini dilihat sebagai platform penting untuk semua pihak untuk berkongsi pandangan serta merangka solusi jangka panjang demi kelestarian bola sepak Malaysia.