Pertahanan kental Malaysia, Jon Irazabal membuka mulut berhubung status beliau sebagai pemain warisan baharu negara.
Tonggak Sabah FK di Azerbaijan itu menjadi antara salah satu daripada 5 tonggak warisan baharu pasukan kebangsaan bagi kem latihan pusat yang bermula akhir Mei lalu.
Pemain kelahiran Sepanyol ini beraksi pada posisi pertahanan tengah dan menjadi watak utama pada peringkat kelab sebelum berpotensi untuk melakukan debut bersama Malaysia.
Menerusi satu temu bual bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Jon mendedahkan susur galur yang membolehkan beliau beraksi buat Harimau Malaya.
“Saya sangat bangga dengan salasilah keturunan saya (Malaysia). Saya sangat bertuah boleh berada di sini dan peluang ini sangat menakjubkan.
“Saya juga mahu memberikan sokongan kepada pasukan kebangsaan Harimau Malaya dan juga Malaysia,” ujarnya.
Perkongsian Jon Irazabal kepada Zulhelmi juga menyatakan bahawa beliau memiliki susur galur dengan Malaysia menerusi datuknya yang berasal dari sini.
Pemain kacukan Sepanyol-Malaysia ini sudah beraksi 30 perlawanan bagi saingan liga selain membantu pasukan untuk menjulang Azerbaijan Cup sebelum tiba di Malaysia.