5 orang pemain warisan baharu Harimau Malaya ketika ini memiliki nilai pasaran yang mengagumkan.
Baru-baru ini, pihak Malaysia National Team mengumumkan kehadiran 5 orang pemain warisan yang bakal memperkuat skuad Harimau Malaya menjelang aksi Kelayakan Piala Asia.
Bek tengah Alaves, Facundo Garces menjadi pemain pertama yang diperkenalkan diikuti Joao Figueiredo, Rodrigo Hogaldo, Jon Irazabal dan Imanol Machuca melengkapkan skuad pada Rabu.
Kelima-lima pemain warisan ini telah pun sampai ke Malaysia dan sudah memulakan sesi latihan bersama pemain-pemain Harimau Malaya di bawah pemantauan Peter Cklamovski dan barisan kejurulatihan.
Menerusi semakan terkini di laman Transfermarkt, Machuca yang bermain di posisi sayap memiliki nilai pasaran setinggi 2.5 juta Euro iaitu sekitar RM12.1 juta untuk menjadi pemain termahal Malaysia.
Manakala Figueiredo yang juga penyerang kelab ternama di Turki, Istanbul Basaksehir mencatat nilai pasaran sebanyak 2.1 juta Euro bersamaan RM 10.1 juta dan berada di belakang Machuca.
Nilai pasaran Facundo Garces ketika ini pula mengatasi ketua pasukan Harimau Malaya, Dion Cools apabila tonggak Alaves ini merekodkan 1.2 juta Euro (RM5.8 juta) dan jadi pemain ke-3 termahal negara.
Dua lagi pemain baharu iaitu Rodrigo Hogaldo dan juga Jon Irazabal memiliki nilai pasaran masing-masing pada harga 800 ribu Euro (RM3.8 juta) dan 650 ribu Euro (RM3.1 juta).
Secara keseluruhannya, nilai pasaran Harimau Malaya ketika ini melonjak kepada 15.33 juta Euro iaitu sekitar RM74.2 juta.