Joseph Kalang Tie Pikul Tugas Besar Bersama Kuching City
MakanBola
Kuching City FC

Bekas pemain sayap kebangsaan, Joseph Kalang Tie memikul tugas baharu bersama Kuching City FC.

Legenda Sarawak berusia 39 tahun itu kini memikul tugas sebagai jurulatih Kuching City Bawah 18 Tahun (B-18). Pelantikan Joseph diumumkan pengurusan The Cats menerusi satu kenyataan.

“Kuching City FC mengesahkan pelantikan Joseph Kalang Tie sebagai Ketua Jurulatih Pasukan B-18. Beliau akan mengetuai skuad muda kami dalam Piala Belia 2026,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Joseph mengisi kekosongan yang ditinggalkan jurulatih sebelumnya, Firdaus Morshidi. Ini kerana Firdaus kini menggalas peranan sebagai jurulatih Kuching City B-20.

Firdaus bakal memimpin Kuching City B-20 untuk menghadapi saingan Piala Presiden 2026.

Joseph bukan asing dengan pasukan Kuching City B-18. Ini kerana beliau menjadi penolong jurulatih pasukan itu untuk musim 2025.

Pengalaman Joseph dijangka ditagih untuk membantu skuad muda The Cats tampil lebih cemerlang dalam saingan Piala Belia musim ini.