Pemain sayap KL City FC, Jovan Motika mengakui merasa teruja kerana mencipta gol sulungnya bersama pasukan Lembah Klang itu.
Nama pemain sayap berusia 25 tahun itu menjadi sebutan penyokong The City Boys apabila meledakkan gol kemenangan semasa menentang Selangor FC dalam aksi Liga Super pada 14 Julai lalu.
Gol itu bukan saja gol pertama Motika bersama KL City. Malah, gol berkenaan turut menamatkan kemarau kemenangan 26 tahun pasukan itu bila berdepan Merah Kuning.
Motika merasa gembira kerana dapat membantu pasukan yang dibimbing Miroslav Kuljanac itu meraih kemenangan. Dan beliau melihat gol tersebut tidak akan dilupakan dalam kariernya sebagai pemain bola sepak.
“Ya, ini merupakan gol pertama saya untuk Kuala Lumpur di saat yang tepat kita nantikan untuk pertembungan derby Lembah Klang ini.
“Sudah tentu ia akan sentiasa menjadi gol kegemaran saya yang tidak akan saya lupa dalam karier sebab saya tahu bagaimana perlawanan itu cukup bermakna kepada kelab dan juga pemain.
“Jadi, perasaan itu cukup luar biasa sebab kita lawan pasukan besar seperti Selangor dan saya ingin teruskan momentum ini,” katanya.
Sejak menyertai The City Boys, Motika menjadi tonggak utama pasukan itu di bahagian sayap. Beliau telah merekodkan lima penampilan dalam Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Selepas mengharungi empat perlawanan liga, KL City menduduki tangga keempat liga dengan tujuh mata. Bisa Motika dijangka ditagih Kuljanac untuk aksi Liga Super menentang Sri Pahang FC pada 27 Julai ini.