Jurulatih Sabah FC, Juan Torres Garrido menafikan pasukan itu menggunakan corak bertahan dan taktik memperlahankan permainan ketika menentang Selangor FC.
Perlawanan tersebut menyaksikan Selangor pada awalnya mendahului menerusi pemain sayap kebangsaan, Faisal Halim.
Penyerang Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23), Fergus Tierney memastikan kedua-dua pasukan terikat pada babak pertama menerusi gol penyamaan.
Selangor kemudiannya memburu kemenangan dengan melancarkan serangan bertali arus ke arah benteng Sabah. Walau bagaimanapun, keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Dominasi Selangor terserlah menerusi 20 percubaan, lima daripadanya merupakan percubaan tepat ke arah gol.
Meskipun begitu, Garrido memaklumkan pasukannya cuba menunjukkan corak permainan mereka dan tidak hanya menggunakan corak bertahan semata-mata.
“Itu bukan pelan (permainan Sabah),” katanya seperti dilaporkan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Hal ini menyaksikan Selangor dan Sabah masing-masing kekal di tangga kedua dan ke-10 liga dengan 43 dan 16 mata.
Keputusan ini juga dilihat menjadi tonik buat Sang Badak menjelang final kedua MFL Challenge Cup pada 19 April ini.