Jurulatih Baharu Negeri Sembilan Bakal Diketahui Pada Mei
MakanBola
Negeri Sembilan FC

Jurulatih baharu Negeri Sembilan FC dijangka diketahui pada Mei ini.

Perkara ini dinyatakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Negeri Sembilan, Faliq Firdaus apabila ditanya tentang usaha pasukan itu mengenal pasti pengganti tetap Nidzam Jamil.

Selepas Nidzam mengundur diri pada Februari lalu, K. Rajan memikul tugas sebagai pengendali interim sehingga akhir musim ini.

Apabila ditanya tentang pencarian jurulatih baharu Sang Rusa, Faliq memaklumkan usaha tersebut kini berada di peringkat akhir.

Tujuh calon jurulatih kini sedang dinilai oleh pengurusan pasukan itu. Lima daripadanya merupakan jurulatih import dengan dua lagi merupakan jurulatih tempatan.

“Paling berkemungkinan kita ada jurulatih yang baru. Kami sedang lihat (kemungkinan) nak ambil jurulatih tempatan atau jurulatih luar negara.

“Kami sedang nilai permohonan-permohonan ini dan kami sedang temu duga (semua calon). (Calon jurulatih) itu akan diputuskan oleh YAB Pengerusi (Tan Sri Aminuddin Harun) dalam mesyuarat akan datang.

“Saya fikir menjelang awal bulan Mei, kita akan tahu siapa (jurulatih yang dipilih),” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.

Seandainya Sang Rusa memilih melantik jurulatih import, maka ini kali pertama pasukan itu berbuat demikian sejak tahun 2018.

Kali terakhir Negeri Sembilan dibimbing jurulatih import ialah tahun 2018. Pada ketika itu, pengurusan pasukan membawa masuk bekas jurulatih Bangladesh dari Portugal, Mario Lemos.

Sejak 2019, jurulatih tempatan menjadi pilihan Sang Rusa untuk memikul tugas sebagai ketua jurulatih. Antaranya Mat Zan Mat Aris, K. Devan, Azzmi Aziz, K. Nanthakumar, Nidzam dan Rajan.