Penyokong kanak-kanak diberikan kemasukan percuma bagi menonton aksi Terengganu vs KL City di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Jumaat.
Sang Penyu bakal turun dalam perlawanan Liga Super minggu ke-19 berdepan The City Boys di Gong Badak dengan Terengganu kini menghuni tangga ke-5 carta liga dengan 28 mata.
“Terengganu FC memberikan peluang para penyokong membawa masuk kanak-kanak secara percuma bagi perhangatkan lagi perlawanan menentang Kuala Lumpur City pada malam esok! Promosi ini untuk tempat duduk terbuka sahaja,” umum kelab tersebut dalam satu kenyataan.
Sementara, bagi orang dewasa pula, mereka boleh membeli tiket secara atas talian di laman sesawang ticket hotline pada ketika ini.
Aksi berdepan KL City ini amat penting buat Terengganu bagi meneruskan rentak kemenangan selepas menumpaskan Melaka 2-1 di Stadium Hang Jebat pada minggu lepas dan semestinya ingin membalas dendam ke atas The City Boys disebabkan kekalahan dalam perlawanan suku akhir Piala Malaysia tempoh hari.
Selain itu, KL City turut mahu meneruskan tempo kemenangan selepas menundukkan Brunei DPMM dalam aksi minggu ke-18 Liga Super musim ini dengan keputusan 4-0 pada 22 Februari lalu.
Pertemuan Terengganu vs KL City bakal berlangsung pada Jumaat, 27 Februari ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dengan sepak mula tepat jam 10.00 malam.