Pemain pertahanan kiri Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Ariff Farhan mengumumkan perpisahan kali kedua dengan skuad hijau kuning sebentar tadi.
Ariff atau nama penuhnya Muhammad Ariff Farhan Md Isa mengucapkan terima kasih kepada penyokong, pihak pengurusan, jurulatih dan rakan sepasukan yang sentiasa ada bersama pasukan walaupun berada di situasi yang sukar.
“Assalamualaikum buat semua penyokong setia KDA FC terima kasih untuk segalanya, terima kasih sentiasa ada bersama pasukan tak kira semasa team di atas mahupun dibawah, terima kasih.
“2016 buat pertama kalinya menyarung jersi keramat hijau kuning dalam saingan Liga Super, perasaan gembira yang tak dapat diungkap dengan kata-kata. Selama bermain untuk pasukan Kedah ini saya dapat merasai Juara Piala Malaysia, Piala FA, Piala Sumbangsih, layak ke AFC, syukur alhamdulillah.
“Kemudian terpaksa berpisah selama 2 tahun . Alhamdulillah 2021 kembali semula ke negeri jelapang padi. Banyak kenangan suka duka bersama pasukan , tetapi kali ini terpaksa berpisah lagi. Namun, inilah lumrah perjalanan bagi seorang pemain bola sepak,” coret Ariff di laman Facebook.
Ariff dalam masa yang sama berharap Kedah akan bangkit semula suatu hari nanti. Sudah memberikan 100 peratus ketika menyarung jersi Kedah, Ariff memohon maaf jika ada kekurangan dan kekhilafan.
“Sepanjang bermain bersama pasukan tercinta ini, saya dah berikan komitmen dan jikalau ada kekurangan dari pihak saya, saya ingin memohon maaf atas kekurangan dan kekhilafan tersebut. Saya doakan pasukan KDA FC akan kembali bangkit seperti suatu masa dahulu,” coretnya lagi.
Dengan pengumuman ini, Ariff dijangka akan menyertai pasukan baharu bagi saingan Liga Super 2025/2026 dengan beberapa pasukan dikaitkan untuk mendapatkan khidmatnya seperti Penang FC.
Sebelum ini, MakanBola melaporkan Kedah yang gagal mendapatkan lesen kebangsaan untuk beraksi di Liga Super sedang mempersiapkan pasukan untuk beraksi di Liga A1 Semipro.