Kelab Bola Sepak Kedah Darul Aman sedang mempersiap pasukan bagi menyertai saingan Liga A1 pada musim akan datang.
Terdahulu, Kedah antara dua kelab yang ditolak permohonan Lesen Kebangsaan oleh pihak First Instance Body (FIB) serta pengelola Liga Super, Malaysian Football League (MFL).
Keputusan ini menyaksikan skuad Sang Kenari terpaksa ucap selamat tinggal kepada saingan Liga Super pada musim akan datang dan berpotensi besar akan beraksi di pentas Liga A1.
Ternyata, perkara tersebut sememangnya berada di dalam perancangan pihak kelab apabila sebuah kenyataan Kedah Darul Aman FC pada Sabtu menjelaskan hala tuju pasukan musim hadapan.
Menurut pihak kelab, proses untuk menyertai Liga A1 sedang berjalan ketika ini termasuklah persiapan pasukan dalam misi memastikan nama Kedah Darul Aman FC terus relevan dalam arena bola sepak.
“Kelab Bolasepak Kedah Darul Aman ingin memaklumkan bahawa kelab kini sedang dalam proses menyertai dan akan mempersiapkan pasukan bagi menghadapi saingan Liga Al musim 2025/2026.”
“Langkah ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kelab untuk memastikan kelangsungan dan daya saing KDA FC dalam arena bola sepak negara.”
Setakat ini, pihak Amateur Football League (AFL) selaku pengelola Liga A1 masih belum mengumumkan pasukan yang akan bersaing termasuklah jumlah kelab yang sertai.