Kejayaan Cemerlang Pemain Mizuno di Liga M Awards 25-26
MakanBola
MFL

Tiga pemain di bawah naungan Mizuno Malaysia mencuri tumpuan pada majlis Liga M Awards 2025-2026 apabila menggondol kategori anugerah utama yang berlangsung di Auditorium Seri Angkasa pada Rabu, 12 Ogos 2026. Kejayaan tersebut memperlihatkan dominasi pemain-pemain yang menggunakan but Mizuno pada saingan Liga Malaysia musim ini.

Kemuncak kejayaan menjadi milik pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Afiq Fazail apabila pemain berpengalaman itu dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia. Pengiktirafan berprestij tersebut mencerminkan sumbangan besar Afiq sepanjang musim, khususnya dari aspek kepimpinan, konsistensi serta pengaruhnya dalam membantu pasukan mencapai sasaran yang ditetapkan.

Selain meraih anugerah MVP, Afiq turut melengkapkan malam gemilangnya dengan kemenangan dalam kategori pemain tengah terbaik. Beliau mengetepikan cabaran Nooa Laine dari Selangor FC dan Daniel Amier dari Kuching City FC untuk membawa pulang satu lagi pengiktirafan individu selain turut berada dalam kategori Fans XI – pemain tengah pilihan penyokong.

Kejayaan berganda itu menjadikan Afiq, 31, antara watak paling menyerlah pada edisi Liga M Awards kali ini. Persembahan konsisten di bahagian tengah bukan sahaja menjadikan beliau penting dalam struktur permainan pasukan, malah mengukuhkan statusnya sebagai antara pemain tempatan terbaik dalam saingan Liga Malaysia dan juga pada pentas antarabangsa.

Sementara itu, Quentin Cheng (27) turut mengharumkan nama atlet Mizuno Malaysia selepas dinobatkan sebagai Pertahanan Terbaik Liga Malaysia. Pemain tersebut berjaya menewaskan dua pencabar, Rodney Kelvin dari Kuching City FC dan Ubaidullah Shamsul dari Terengganu FC, dalam perebutan kategori berkenaan.

Pengiktirafan buat Quentin hadir hasil persembahan kukuhnya pada barisan pertahanan sepanjang musim. Ketahanan dalam situasi bertahan, disiplin taktikal serta konsistensi aksinya musim lepas menjadi antara faktor yang menyerlahkan prestasinya berbanding pencabar lain.

Ahmad Syihan Hazmi dari Johor Darul Ta’zim (JDT) pula memastikan satu lagi anugerah menjadi milik pemain di bawah naungan Mizuno Malaysia apabila dinobatkan sebagai Penjaga Gol Terbaik. Syihan mengatasi saingan Haziq Nadzli dari Kuching City FC dan Kalamullah Al-Hafiz dari Selangor FC untuk meraih pengiktirafan tersebut.

Kemenangan Syihan turut menggambarkan prestasi konsisten penjaga gol berusia 28 tahun itu sepanjang kempen. Kecekapan melakukan penyelamatan, ketenangan mengawal kawasan penalti serta keupayaan mengorganisasi benteng pertahanan serta rekod 9 aksi liga tanpa bolos menjadikannya antara penjaga gol paling menonjol dalam saingan musim 2025-2026.

Secara keseluruhan, empat pengiktirafan yang diraih pemain di bawah naungan Mizuno Malaysia mencerminkan kualiti dan prestasi tinggi yang dipamerkan sepanjang musim. Daripada Afiq sebagai MVP dan pemain tengah terbaik, Quentin sebagai pertahanan terbaik hinggalah Syihan sebagai penjaga gol terbaik, setiap kemenangan hadir daripada posisi berbeza dan menonjolkan kekuatan tersendiri.

Kejayaan di Liga M Awards 2025-2026 sekali gus menjadi pentas penting buat Mizuno Malaysia dalam meraikan pencapaian atlet yang berada di bawah naungannya. Dominasi empat pemain berkenaan bukan sahaja menjadi pengiktirafan terhadap prestasi individu mereka, malah mencerminkan satu musim yang cukup cemerlang buat barisan pemain Mizuno dalam arena bola sepak tempatan.