Selepas berjaya mendapatkan Sony Norde dan Adisak Kraisorn, Terengganu terus sibuk memburu awang import baru sebagai persiapan Liga Malaysia musim hadapan. Tetapi para penyokong skuad Penyu tidak menyangka berita bakal pemain import terbaru mereka telah diumumkan oleh kelab lamanya sendiri. Pemain yang dimaksudkan ialah pemain tengah Croatia, Domagoj Pusic.
Walaupun pengurusan Terengganu FC (TFC) belum lagi mengesahkan perpindahan tersebut, kelab terakhir Pusic iaitu BSK Bijelo Brdo telah mengumumkan destinasi terbarunya di Instagram rasmi kelab berkenaan. Ia turut dikongsikan oleh wartawan sukan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam di akaun Twitternya.
Pusic, 31, dijangka memainkan peranan sebagai pemain tengah bertahan dalam skuad Penyu. Kaya dengan pengalaman beraksi di liga Croatia, Lithuania, Bosnia-Herzegovina dan Switzerland, dia pernah beraksi bersama Osijek, Lugano, Zrinjski Mostar dan NK Zadar. Pusic juga pernah menjulang A Lyga (liga utama Lithuania) bersama Suduva pada 2019.
Sekiranya perpindahan ini sah menjadi kenyataan, Pusic akan mengisi salah seorang daripada dua pemain import Croatia yang mahu dibawa masuk Tomislav Steinbruckner. Tetapi siapa bakal menyusuli bekas pemain tengah Rijeka itu ke Terengganu? Salah satu nama yang dicanang ialah bekas penyerang FCSB, Ivan Mamut.