Pengendali Kelantan Red Warrior FC (KRW FC), Irfan Bakti Abu Salim diberi kebebasan mencorak pasukan itu termasuk memilih barisan pemain yang bersesuaian.
Perkara itu dinyatakan Presiden Kelantan RW, Nik Hafiz Naim Nik Hassan apabila ditanya tentang perkembangan pasukan itu.
Sebelum ini, Kelantan RW menggerakkan sesi pemilihan pemain sekitar negeri Kelantan dan Lembah Klang pada Januari dan Februari lalu.
Sesi ini bertujuan membantu pasukan itu mengenal pasti pemain-pemain yang boleh diketengahkan apabila Kelantan RW kembali beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).
“Semua pemain dan barisan kejurulatihan kami serahkan kepada Irfan Bakti,” katanya kepada Nadi Arena.
“Dia seorang jurulatih ternama dan berpengalaman, sebagai presiden saya berikan mandat sepenuhnya kepadanya.”
Nik Hafiz turut memaklumkan pasukan itu sudah merangka bajet mengikut liga yang mereka akan sertai. Sebelum ini, Kelantan RW memiliki hasrat untuk bersaing dalam saingan Liga A1 Semi-Pro.
“Anggaran (dana) kami adalah RM2 juta hingga RM3 juta. Duitnya sudah ada. Kalau beraksi dalam Liga A2, kami mungkin guna bajet RM2 juta dan kalau Liga A1, mungkin lebih sedikit.
“Kami akan buat secara berhemah kerana kelab-kelab dalam masalah dan mungkin kami akan tetap gaji siling,” ujarnya.
Kelantan RW berharap dapat beraksi dalam saingan Liga A1 Semi-Pro. Jika perancangan itu tidak dapat direalisasikan, pasukan itu sedia beraksi dalam saingan Liga A2.