Kelantan RW Tunjuk Data, Sokong Idea Tunku Ismail
MakanBola
KRWFC/JST

Kelantan Red Warrior FC tampil menyatakan sokongan terbuka terhadap cadangan Pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor berhubung pelaksanaan model bayar untuk tontonan (pay-per-view) sebagai salah satu solusi menjana pendapatan lebih mampan buat kelab Liga Malaysia.

Menerusi satu kenyataan rasmi, pihak kelab memaklumkan cadangan yang dibawa oleh Baginda itu disifatkan sebagai langkah yang menarik dan wajar diperhalusi oleh Malaysian Football League (MFL) bersama semua pemegang taruh.

Terdahulu, Tunku Ismail dilaporkan membentangkan kertas kerja komprehensif setebal 5 muka surat dalam satu sesi meja bulat bersama MFL, yang merangkumi pelan menyeluruh bagi menangani isu kewangan kelab termasuk cadangan penubuhan platform digital tersendiri.

Apa yang menarik, Kelantan RW bukan sekadar menyokong secara teori, malah turut mengemukakan bukti pelaksanaan di peringkat kelab apabila mereka telah lebih awal mengadaptasi model tontonan berbayar.

Menurut kelab itu, inisiatif tersebut berjaya menjana pendapatan tambahan yang membantu menampung sebahagian kos operasi, hasil sokongan berterusan daripada penyokong setia mereka.

“Data kami menunjukkan purata 1,000 penyokong membeli akses bagi setiap perlawanan melibatkan Kelantan RW dalam saingan Liga A1 Semi Pro musim 2025/2026,” jelas kenyataan itu.

Tambah mereka, angka tersebut menjadi indikator jelas bahawa model pay-per-view mempunyai potensi besar untuk diperluaskan di peringkat liga sekiranya diuruskan secara lebih tersusun oleh pihak MFL.

Dalam masa sama, Kelantan RW melihat pendekatan itu bukan sahaja memberi impak dari sudut kewangan, malah berupaya mengeratkan hubungan antara kelab dan penyokong selari dengan aspirasi mengembalikan bola sepak kepada rakyat.

Sehubungan itu, Kelantan RW menyatakan kesediaan untuk bekerjasama rapat dengan Tunku Ismail serta MFL dalam memperincikan cadangan tersebut sebagai sebahagian daripada persiapan jangka panjang kelab, termasuk sasaran untuk bersaing di pentas lebih tinggi seperti Liga Super pada masa hadapan.