Nama pemain import Johor Darul Ta’zim (JDT), Enzo Lombardo kembali menjadi sebutan penyokong pasukan selatan tanah air itu.
Ini selepas kelibatnya dilihat bersama kumpulan pemain, staf kejurulatihan dan staf sokongan JDT yang melaungkan takbir raya untuk tahun 2025.
Sebelum ini, Lombardo terpaksa berehat lama akibat kecederaan serius yang dialami pada September 2024.
Masalah kecederaan itu turut menyebabkan Harimau Selatan membawa beberapa tonggak import baharu sebagai pengganti. Antara nama yang dibawa masuk ialah Jonathan Viera, Jese Rodriguez dan Samu Castillejo.
Ramai penyokong JDT berharap bekas bintang Mallorca itu sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan kembali membantu pasukan.
Lombardo telah merekodkan tiga penampilan dan satu bantuan gol dalam saingan Liga Super musim 2024/25.
Selain Lombardo, kelibat bek tengah kebangsaan, Feroz Baharudin turut kelihatan dalam video sama. Bek tengah berusia 24 tahun itu terpaksa berehat panjang selepas mengalami kecederaan Ligamen Krusiat Anterior (ACL).
Kecederaan tersebut menyebabkan beliau berangkat ke Sepanyol pada Januari lalu untuk membantu proses pemulihan kecederaan.