Kenyataan Rasmi Prasarana Isu Penyokong Bergaduh Di Stesen LRT
MakanBola
elybaeraq

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah mengeluarkan kenyataan rasmi berkenaan isu penyokong bergaduh di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan.

Menerusi siaran media pada Sabtu, Prasarana mengesahkan satu insiden pergaduhan telah berlaku di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan yang mengakibatkan kerosakan harta benda.

“Pihak polis bantuan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengambil tindakan dalam meleraikan pergaduhan yang melibatkan sekumpulan penyokong bola sepak di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan, Laluan Ampang/Sri Petaling sekitar jam 12 tengah malam tad.”

“Insiden ini telah mengakibatkan kerosakan pada kemudahan di stesen serta pada bahagian pintu dan cermin tingkap tren yang berada di platform,” ujar Prasarana di laman Facebook Rapid KL.

Tiada sebarang laporan kecederaan dikeluarkan tatkala pihak polis bantuan berjaya membawa keluar kumpulan penyokong tersebut bagi mengelakkan insiden lebih teruk berlaku.

“Walau bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan semasa kejadian tersebut. Pasukan polis bantuan telah membawa keluar kumpulan penyokong yang terlibat dari Stesen LRT Bandar Tasik Selatan untuk mengelakkan sebarang situasi yang lebih merbahaya.”

Oleh itu, pihak Prasarana mengambil tindakan tegas dengan membuat laporan polis di balai berdekatan untuk disiasat dan bersedia untuk memberikan kerjasama.

“Prasarana amat kesal dengan kejadian ini dan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk kekerasan dan kelakuan agresif di stesen dan di dalam tren.”

“Prasarana juga ingin memaklumkan bahawa laporan polis telah dibuat di Balai Polis Sungai Besi berkaitan insiden ini, dan sedang bekerjasama dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan lanjut bagi memastikan tindakan yang sewajarnya diambil terhadap individu-individu yang terlibat.”

“Sebagai pengendali perkhidmatan rel dan bas Rapid KL di Lembah Klang, Prasarana komited untuk memastikan bahawa sistem pengangkutan awam sentiasa menjadi tempat yang selamat dan selesa untuk semua pengguna.”

“Kami juga menyeru kepada semua pengguna untuk menunjukkan sikap yang lebih bertanggungjawab dan beradab ketika menggunakan perkhidmatan kami.”

Terdahulu, tular di laman X mengenai kejadian pergaduhan yang dimuat naik oleh salah seorang pengguna, Elybaeraq yang menyaksikan sekumpulan penyokong bertindak ganas di hadapan pintu masuk tren.

Kumpulan penyokong tersebut difahamkan dalam perjalanan untuk pulang setelah habis menonton aksi bola sepak antara Malaysia dan Singapura di Bukit Jalil.