Kim Pan-gon Ulas Impak Dua Pemain Selangor
MakanBola
Selangor FC

Jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon menyifatkan dua penyerang pasukan itu, Chrigor Moraes dan Kim Ji-ho memberi impak positif ketika menentang Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC).

Selangor kembali merampas tempat kedua Liga Super selepas membelasah pasukan Pantai TImur itu 6-0 di Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV).

Ji-ho bukan saja membuka akaun golnya bersama Selangor. Malah, beliau juga menjadi pencetus gol kedua pasukan itu menerusi penalti yang disempurnakan Chrigor.

Bekas penyerang Buriram United itu turut mencipta hatrik dalam perlawanan sama. Pan-gon melihat impak dua pemain ini membantu Selangor meraih keputusan positif di Kota Bharu.

“Kita bermula dengan baik, tak terlalu buruk dan mencipta beberapa peluang. Dan akhirnya kita menjaringkan gol menerusi Kim (Ji-ho).

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Kim (Ji-ho). Satu permulaan yang bagus dan dia juga mencipta bantuan gol untuk gol kedua (penalti Chrigor).

“Dan hari ini, Chrigor juga menjaringkan hatrik. Tahniah dan dia kini dalam persaingan penjaring terbanyak,” katanya selepas perlawanan.

Pan-gon turut percaya kemenangan ke atas Kelantan TRW membantu mereka semakin menghampiri sasaran tempat kedua dalam liga.

Ini kerana slot naib juara Liga Super menjanjikan kelayakan secara merit ke saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) musim hadapan.

“Ini adalah sasaran kami hingga ke akhir. Kami mahu berjuang mendapatkan tempat kedua, jadi harapnya kita melakukannya dengan baik.

“Kita lihat apa yang berlaku kepada pasukan lain. Kita telah menjalankan tugas dengan baik dan kita menantikan peluang ke Asia,” tambahnya.

Selepas ini, Merah Kuning akan menentang Penang FC pada 2 Mei. Ini disusuli aksi separuh akhir pertama Shopee Cup menentang Thep Xanh Nam Dinh FC (Nam Dinh FC) pada 6 Mei.