Pemain muda Malaysia, Kobe Chong berharap dapat kembali beraksi pada September ini.
Sebelum ini, bekas pemain remaja West Brom itu terpaksa berehat panjang kerana mengalami kecederaan tendon Achilles pada Oktober 2024.
Sejak itu, Kobe giat menjalani proses pemulihan kecederaan. Proses pemulihan beliau turut dibantu oleh dua figura yang cukup dikenali dari kelab lamanya, Alvechurch.
Mereka ialah jurulatih skuad utama Alvechurch, Steve Hensel dan ketua terapi sukan kelab itu, Dan Hines. Barisan staf Universiti Newman di Birmingham, United Kingdom turut membantu proses pemulihan Kobe.
Kini, akaun Harimau Abroad melaporkan Kobe dijangka kembali beraksi sekitar September ini.
“Kobe Jae Chong ketika ini pulih daripada kecederaan tendon Achilles merancang akan kembali beraksi pada September ini. Beliau kali terakhir bermain untuk St. Ives Town,” katanya di X.
Selain West Brom, St. Ives Town dan Alvechurch, beliau juga pernah beraksi untuk King’s Lynn, Kettering Town, AFC Telford, Peterborough United, Barwell dan Cagliari.