Kuching City Contoh Terbaik Kelab Bajet Kecil Berimpian Besar – Stanley Bernard
MakanBola
KCFC/KLCFC

Kejayaan Kuching City melangkah ke pentas final Piala Malaysia terus mendapat perhatian pemerhati bola sepak tempatan, termasuk bekas pemain kebangsaan, Stanley Bernard yang menyifatkan kelab dari Sarawak itu sebagai contoh terbaik bagaimana sebuah pasukan dengan bajet kecil mampu mencapai impian besar.

Menurut Stanley, isu utama dalam bola sepak Malaysia bukan semata-mata pada kekuatan kewangan, sebaliknya lebih kepada struktur pengurusan, perancangan jangka panjang serta kebijaksanaan dalam proses perekrutan pemain.

“Pencapaian Kuching City membuktikan bahawa bola sepak moden bukan hanya tentang bajet besar. Ia tentang bagaimana anda membina pasukan yang betul, dengan pemain yang sesuai dan sistem yang jelas,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa Kuching City berjaya menunjukkan keseimbangan dalam aspek taktikal dan pengurusan apabila mereka bukan sahaja berjaya mara ke final Piala Malaysia, malah menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua serta merekodkan antara jumlah bolos terendah dalam liga iaitu hanya 10 gol.

Situasi itu, menurutnya, jelas berbeza dengan beberapa pasukan lain yang mempunyai bajet jauh lebih besar tetapi gagal mengekalkan konsistensi sepanjang musim.

“Kalau kita lihat perbandingan dengan Selangor FC misalnya, perbezaan bajet mungkin tiga hingga empat kali ganda, tetapi Kuching City tetap mampu bersaing di tahap tertinggi. Ini menunjukkan sistem mereka berfungsi,” tambahnya.

Stanley turut menekankan bahawa model seperti ini bukan sesuatu yang asing dalam bola sepak dunia, apabila kelab seperti Bayer Leverkusen dan Borussia Dortmund di Jerman sering menjadi pencabar utama kepada Bayern Munich walaupun beroperasi dengan bajet yang lebih rendah.

“Di Jerman kita lihat bagaimana Leverkusen dan Dortmund konsisten mencabar Bayern. Ia bukan kebetulan, tetapi hasil struktur kelab yang kukuh,” jelasnya.

Selain Kuching City, beliau turut menyinggung kejayaan KL City yang sebelum ini pernah mengejutkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam final Piala Malaysia, sekali gus membuktikan bahawa kejayaan dalam bola sepak tidak hanya bergantung kepada kekuatan kewangan semata-mata.

Kejayaan Kuching City musim ini jelas membuka mata ramai pihak bahawa dengan perancangan yang betul, kelab kecil juga mampu mencipta impak besar dalam saingan bola sepak negara.