Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Football League (MFL), Mohd Shazli Shaik Mohd menafikan Liga Malaysia (Liga M) berada dalam situasi genting.
Kenyataan itu dibuat beliau apabila diminta mengulas tentang situasi beberapa kelab Liga M yang dibelenggu masalah kewangan.
Shazli memaklumkan Peraturan Fair Play Kewangan (FFP) yang dikuatkuasakan dalam Liga Super musim ini masih lagi berada di peringkat awal dan mula menunjukkan tanda positif.
“Kalau melihat kepada pelaksanaan FFP kita, ini tahun pertama FFP dilaksanakan. LaLiga ambil masa lima tahun untuk sihatkan liga mereka sepenuhnya.
“Kita baru tahun pertama. Belum habis lagi pun.Tetapi kita dapat lihat banyak perkembangan-perkembangan positif daripada pelaksanaan FFP,” katanya.
Shazli ditemui selepas majlis pemeteraian kerjasama antara MFL dan Konami eFootball yang berlangsung pada 9 April lalu.
Beliau turut menyatakan kesediaan bertemu dengan semua CEO kelab Liga Super bagi membincangkan isu kewangan yang membelenggu sesetengah kelab.