Lee Tuck Merendah Diri, Anggap Rakan Sepasukan Punca Kejayaan

Lee Tuck Malaysia Maldives FA Malaysia Lee Tuck Merendah Diri, Anggap Rakan Sepasukan Punca Kejayaan
FA Malaysia
Azim Noor @mohdazim45
9:26pm 15/12/2022

Semalam Malaysia mencatat kemenangan 3-0 ke atas Maldives dalam perlawanan pemanas badan kedua mereka. Gol-gol Harimau Malaya disumbangkan oleh Darren Lok, Faisal Halim dan Lee Tuck. Walaupun telah meledak dua gol dalam dua perlawanan persahabatan, penyerang Sri Pahang itu menyifatkan itu takkan berlaku tanpa bantuan rakan-rakan sepasukan Harimau Malaya.

Tuck membuat penampilan pertama dalam pasukan kebangsaan menentang Kemboja pada 10 Disember lalu. Dan bekas penyerang Terengganu itu tidak mengecewakan dengan menyumbat gol kedua perlawanan yang menyaksikan Harimau Malaya membelasah Pahlawan Angkor 4-0. Selain menjaringkan gol pertama, Tuck juga membantu Darren dan Faisal mengenakan tekanan ke atas pertahanan Kemboja sehingga mereka kerap melakukan kesilapan.

Dan pada perlawanan semalam, bekas penyerang Bangkok FC itu terus membalas kepercayaan Kim Pan-gon walaupun diturunkan sebagai pemain gantian. Tuck menjaringkan gol ketiga menentang Maldives selepas menerima umpanan seorang lagi pemain gantian, Sergio Aguero. Dengan ketajamannya di depan pintu gol lawan, tidak hairanlah ramai memuji penyerang kelahiran Halifax itu.

Bagaimanapun, Tuck dalam satu ciapannya di Twitter menyifatkan semua itu takkan berlaku tanpa bantuan rakan-rakan sepasukan. Ciapannya berbunyi, “Dua gol dalam dua perlawanan dan semua kredit perlu diberi kepada pemain-pemain lain yang terlibat dalam merencana serangan, menanduk dan membuat hantaran yang membawa kepada gol-gol berkenaan.”