Hajat KL Rovers FC menduduki tangga kedua Liga A1 Semi Pro tidak kesampaian apabila diikat 2-2 Malaysian University FT (MUFT) di Stadium UKM, Bangi.
KL Rovers memburu satu lagi kemenangan untuk menghambat dua pasukan teratas liga, Imigresen FC dan Melaka FC. Sementara Malaysian University pula mahu memintas Bunga Raya Damansara (BR Damansara) sekiranya berjaya menewaskan KL Rovers.
Separuh masa pertama menyaksikan pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang itu berusaha mendapatkan kelebihan gol awal.
Anak buah Wan Mustaffa Wan Ismail tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan menerusi penjaring terbanyak mereka, Rafie Mat Yaacob pada minit keempat. Gol tersebut merupakan gol kelima bekas penyerang UiTM United itu dalam liga musim ini.
Tersentak, Malaysian University yang dibimbing Ridzuan Abu Shah berusaha untuk bangkit menerusi gandingan Hadi Mohamad, Hausen Shwahiri Hasboni Shawal dan Saiful Iskandar Adha Saiful Azlan.
Malangnya, gandingan trio berkenaan berdepan kesukaran menembusi gawang KL Rovers yang dikawal bekas penjaga gol Kelantan Darul Naim FC (KDN FC), Ahmad Asyraaf Omar.
Ketangkasan Asyraaf mengawal gawang memastikan keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, KL Rovers terus menggandakan asakan untuk meningkatkan kelebihan gol yang dimiliki.
Sebaliknya, Malaysian University bangkit menyamakan kedudukan menerusi Hausen pada minit ke-50. Anak buah Ridzuan mendahului perlawanan pada minit ke-70 menerusi Hadi.
KL Rovers memastikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata menerusi gol lewat Amirul Nizam Mohd Zaini pada minit ke-91.
Keputusan ini menyaksikan KL Rovers memintas PIB Shah Alam FC di tangga ketiga dari segi kelebihan jaringan. Sementara Malaysian University pula kekal di tangga ketujuh dengan 10 mata.
Selepas ini, KL Rovers bakal berentap dengan juara liga musim 2023, Imigresen FC pada 4 Ogos ini. Manakala Malaysian University bakal menentang Bukit Tambun pada 5 Ogos ini.