Bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Afiq Fazail mahu menjadikan Anugerah Pemain Paling Bernilai Liga M Awards 2025-2026 yang dimenangi sebagai batu loncatan untuk menjadi lebih baik pada musim akan datang.
Acara Liga M Awards 2025-2026 pada Rabu menyaksikan Afiq Fazail menepati ramalan peminat apabila merangkul Anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) setelah menjadi nadi penting di jentera tengah JDT musim lalu.
Prestasi memukau Afiq Fazail berjaya membantu pasukan Harimau Selatan mempertahankan 4 kejuaraan yang dimenangi iaitu Piala Sumbangsih, Liga Super, Piala FA dan juga Piala Malaysia selain membawa JDT mara ke suku akhir AFC Champions League Elite (ACLE).
Anugerah yang dimenanginya ini disambut dengan begitu gembira selain menganggap kejayaan ini umpama batu loncatan buatnya menjadi pemain lebih baik pada musim yang akan datang hasil usaha keras dari semasa ke semasa.
“Alhamdulillah saya gembira dengan anugerah yang dimenangi kali ini. Ini juga tanda saya perlu bekerja keras untuk menjadi lebih baik,” komen Afiq Fazail ketika ditemui MakanBola selepas acara.
Afiq yang muncul MVP edisi kali ini turut berjaya mengulangi pencapaian edisi 2023 apabila kembali memenangi anugerah pemain tengah terbaik – mengatasi tentangan hebat tonggak Selangor FC, Nooa Laine dan Daniel Amier (Kuching City FC).
Kemenangan Afiq selaku MVP Liga Malaysia ini menyaksikan legasi pemain JDT untuk anugerah ini berterusan selepas Safawi Rasid (2018 & 2019) dan juga Arif Aiman Hanapi (2021,2022,2023 & 2024-2025).