Liga M Awards: Xisco Munoz Rangkul Anugerah Jurulatih Terbaik
MakanBola
Johor Southern Tigers

Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz menepati ramalan apabila dinobatkan sebagai Jurulatih Terbaik Liga Malaysia musim 2025/2026 pada majlis Liga M Awards yang berlangsung hari ini.

Xisco menewaskan dua pencabar terdekatnya, iaitu Aidil Sharin Sahak yang membimbing Kuching City FC dan Kim Pan-gon dari Selangor FC, untuk membawa pulang anugerah berprestij tersebut.

Pengiktirafan itu hadir selepas Xisco berjaya membimbing JDT melalui satu lagi musim yang cukup gemilang dengan kejayaan menyapu bersih empat trofi utama sepanjang kempen 2025/2026.

JDT terlebih dahulu menjulang Piala Sumbangsih, diikuti Piala FA sebelum mengesahkan kejuaraan Liga Super buat kali ke-12 berturut-turut.

Lebih istimewa, Piala Malaysia menjadi penutup sempurna buat musim JDT apabila Harimau Selatan menewaskan Kuching City 2-0 dalam aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Kemenangan tersebut turut mencipta sejarah apabila JDT menjadi pasukan pertama yang berjaya menjulang Piala Malaysia untuk empat musim berturut-turut.

Bukan itu sahaja, Xisco turut membantu JDT mengekalkan dominasi mereka dalam saingan liga apabila merekodkan 108 perlawanan tanpa kekalahan, sekali gus melakar rekod dunia.

Dengan deretan kejayaan dan rekod luar biasa yang dicapai sepanjang musim, pengiktirafan terhadap Xisco sememangnya berasas dan Anugerah Jurulatih Terbaik Liga Malaysia 2025/2026 menjadi bukti terhadap kecemerlangan beliau dalam membimbing JDT ke satu lagi musim yang penuh gemilang.

Untuk rekod, anugerah berkenaan sebelum ini menjadi milik Aidil Sharin Sahak yang dinobatkan sebagai Jurulatih Terbaik bagi saingan Liga Malaysia 2024/2025.