Liga Malaysia Catat 115 Juta Tontonan
MakanBola
Kuching City FC

Liga Malaysia (Liga M) merekodkan jumlah tontonan sebanyak 115 juta untuk musim 2025/26.

Angka hebat itu dikongsikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Football League (MFL), Mohd Shazli Shaik Mohd dalam sesi meja bulat baru-baru ini.

Shazli menyifatkan jumlah tontonan tersebut sebagai bukti Liga M terus mendapat sambutan baik dalam kalangan peminat bola sepak negara.

“Kalau mengikut kadar jumlah perlawanan liga, kita telah mendapat jumlah tontonan untuk Piala Sumbangsih, Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan Challenge Cup di Astro dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) 115 juta.

“Ini dibandingkan dengan data tahun 2024/25 selepas tamat kejohanan ialah 61 juta,” katanya.

Shazli percaya bilangan tontonan untuk musim ini dijangka lebih tinggi memandangkan masih ada baki perlawanan Liga Super dan final Piala Malaysia.

“Dan kita masih berbaki input-input daripada Piala Malaysia dan Challenge Cup di mana ia tidak ditayangkankan di RTM atau saluran televisyen percuma (FTA), hanya di Astro.

“Angka 115 juta ini merupakan angka yang besar jika dibandingkan dengan angka pada musim lepas,” tambahnya.

Selain perebutan tempat kedua Liga Super, final Piala Malaysia yang menemukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuching City FC juga dijangka menjadi tumpuan peminat.