Aksi setempat Borneo antara DPMM FC dan Kuching CIty FC di Stadium Negara Hassanal Bolkiah merekodkan kehadiran tertinggi untuk perlawanan minggu ke-23.
Ini berdasarkan statistik kehadiran enam perlawanan yang berlangsung dari 24 hingga 28 April lalu.
Pertembungan DPMM dan Kuching City merekodkan kehadiran 3,656 orang. Aksi itu menyaksikan pelawat bangkit mengikat tuan rumah 2-2 menerusi penalti saat akhir Jordan Mintah.
Keputusan itu menyaksikan The Cats ketinggalan dua mata di belakang Selangor FC di tangga kedua liga. Kedua-dua pasukan kini bersaing merebut slot kelayakan ke Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Dua perlawanan merekodkan kehadiran melebihi 2,000 orang iaitu aksi Terengganu FC-Negeri Sembilan FC dan Melaka FC-Johor Darul Ta’zim (JDT).
Aksi Peteh menentang Sang Rusa di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) merekodkan kehadiran 2,830 orang. Aksi Melaka menentang JDT di Stadium Hang Jebat pula merekodkan kehadiran 2,480 orang.
SSMZA menjadi saksi kebangkitan Negeri Sembilan untuk mengikat tuan rumah 2-2. Melaka pula memberi tentangan kepada JDT sebelum tewas tipis 2-1.
Dua perlawanan merekodkan kehadiran tiga angka. Dua aksi tersebut ialah aksi Penang FC-Sabah FC di Stadium Bandaraya dan Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC)-Selangor FC di Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV).
Aksi Penang menentang Sabah yang berkesudahan 0-0 merekodkan kehadiran 516 orang. 147 orang pula hadir menyaksikan tuan rumah dibelasah Selangor 6-0.
Aksi PDRM FC menentang Imigresen FC merekodkan kehadiran dua angka iaitu 89 orang. Aksi ini menyaksikan Imigresen membelasah The Cops 5-0.
Perlawanan minggu ke-24 Liga Super bakal berlangsung dari 1 hingga 3 Mei ini.