Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengukuhkan kedudukan di puncak liga dengan rentak kemenangan cemerlang apabila berjaya menundukkan PDRM 7-0 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim pada hari Rabu.
JDT mempertaruhkan Syihan Hazmi sebagai benteng terakhir, manakala Matthew Davies mengetuai pasukan dengan lilitan kapten. Di bahagian serangan, gandingan Manuel Hidalgo dan Nacho Mendez menjadi sandaran utama untuk mengucar-kacirkan pertahanan lawan.
Pasukan PDRM FC pula tidak kurang hebatnya apabila menurunkan Asri Muhamad di posisi penjaga gol, sementara Fakhrul Azim mengetuai jentera serangan dalam usaha memburu jaringan.
Harimau Selatan dilihat bermula garang dengan melancarkan beberapa serangan ke arah gawang The Cops pada awal separuh masa pertama.
Manuel Hidalgo melepaskan satu percubaan berbahaya pada awal minit babak pertama namun rembatan tersebut sedikit tersasar dari gawang yang dikawal oleh Asri Muhamad.
Selepas itu, penyerang berbisa PDRM, Fakhrul Azim hampir meletakkan kelab tersebut berada di hadapan namun ketangkasan penjaga gol JDT, Syihan Hazmi harus diberi pujian.
Yago Cesar berjaya membuka akaun jaringan aksi pada minit ke-15 sekali gus menceriakan ribuan penyokong & kem pasukan Harimau Selatan yang berada di Stadium Sultan Ibrahim pada Rabu.
Selepas itu, Nacho Mendez menggandakan kedudukan dengan meledak jaringan kedua aksi buat JDT pada minit ke-21.
Stuart Wilkin menutup babak pertama dengan meledak gol ketiga Harimau Selatan menerusi rembatan dari luar kotak penalti PDRM FC pada minit ke-25, sekali gus memastikan JDT mendahului perlawanan dengan 3 gol.
Aksi babak pertama tamat dengan keputusan 3-0 memihak kepada pasukan tuan rumah, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Memasuki babak kedua, JDT dilihat meningkatkan intensiti permainan dalam usaha memburu gol tambahan, disokong sorakan padu daripada ribuan penyokong setia di laman sendiri.
Stuart Wilkin terus menjadi mimpi ngeri buat PDRM FC apabila meledak gol kedua pada minit ke-51, sekali gus memastikan pasukannya selesa di hadapan dengan kelebihan empat gol.
Pemain import PDRM FC, Elisha Segun terus-menerus melakukan percubaan berbahaya ke arah gawang yang dikawal Syihan Hazmi, namun ketangkasan penjaga gol itu sekali lagi wajar diberikan pujian.
Penyerang berbisa Harimau Selatan, Jairo da Silva, menjaringkan dua gol dalam tempoh tiga minit pada penghujung separuh masa kedua, sekali gus memastikan kemenangan besar buat JDT.
Bergson da Silva menutup malam gemilang Harimau Selatan dengan merobek jaringan ketujuh aksi pada minit ke-88.
Aksi Harimau Selatan & The Cops tamat dengan keputusan 7-0 memihak kepada pasukan tuan rumah, Johor Darul Ta’zim (JDT).